SIKAP BARU UNTUK MALAYSIA BARU

Oleh : SaifulIslam.com

Kemenangan dan kekalahan di dalam Pilihanraya Umum ke-12 pada 8 Mac lalu adalah lembaran baru untuk Malaysia Baru. Kemenangan yang dicapai mengatasi teori-teori politik perdana yang mengisi wacana pra pilihanraya. Ia terlalu jauh dari jangkaan semua pihak. Hakikatnya, Allah SWT sudah pun memberitahu:

Dan mereka telah merancangkan (konspirasi), dan Kami pula merancangkan (balasannya), sedang mereka tidak menyedarinya.” (Al-Naml 27 : 50)

Saya yakin, rejim yang baru ditumbangkan itu tidak pernah sedar dan tidak pernah mengambil kira soal ‘perancangan Allah’. Mereka sangat yakin dengan segala keupayaan yang ada untuk meneruskan tradisi kemenangan yang sudah bagai tahu sebelum diberitahu. Kuasa majoriti besar, kuasa penguasaan media yang amat keterlaluan, kuasa wang, kuasa SPR dan segala-galanya, terungkap dalam keangkuhan hingga mereka lupa kepada Makar Allah terhadap makar mereka.

Mereka lupa siapa Allah terhadap KUASA.

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi Kuasa pemerintahan kepada sesiapa Yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah Yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Aal Imraan 3 : 26)

Setelah sekumpulan manusia membelakangkan tujuan Allah memberi kuasa, bahawa untuk mereka menegakkan keadilan dan memuliakan manusia dengan kemanusiaannya, Allah mencabut kuasa itu dan menyerahkannya kepada pasukan lain yang dengan sepenuh hati menyatakan kesediaannya untuk berlaku adil. Jika tidak Allah, siapakah yang mengubah hati pengundi hantu untuk mengundi Barisan Rakyat?

Siapakah yang membuang prejudis dari hati kaum non-Muslim untuk menyokong PAS?
Allah yang Maha Adil memuliakan keadilan, dan mengangkat manusia yang menjunjung keadilan, menghina dan menjatuhkan si zalim dan kezalimannya.
Itu sifir jatuh bangun setiap sudut kehidupan manusia sebagaimana yang tercatat di dalam rakaman sejarah.


baca lagi .. KLIK DI SINI

0 comments: