Menilai Pembangunan Mapan Di Malaysia

Acapkali juga kita meninjau betapa ledakan banjir kilat berlaku di Kuala Lumpur secara berleluasa khususnya di musim tengkujuh yang tidak sekadar membantutkan kerancakan kegiatan ekonomi dan perdagangan malah ia berpotensi memanipulasikan kerugian berganda lantaran kerosakan harta benda atau aset yang begitu banyak dilaburkan sebelum ini.

Malah jika diamati dari permulaan abad baru, pelbagai tragedi dan bencana alam sekitar samada bersifat mikro ataupun makro telah berlaku merangkumi tanah runtuh, banjir, kemarau panas, jerebu dan sebagainya.

Hakikatnya, sukar dinafikan bahawa segala tragedi dan bencana alam sekitar ini sebenarnya berpunca dari fenomena alam sekitar yang dieksploitasikan untuk memenuhi tingkatan kualiti kehidupan dan keperluan manusia manusiawi tetapi gagal diurus dan dikawal secara efektif dan efisien sehingga akhirnya menjejaskan kualiti dan keperluan manusia itu sendiri.

Sektor pembinaan dan hartanah adalah merupakan sektor terbesar yang memonopoli sebahagian besar sumber alam semula jadi dalam susur galur kegiatannya.

Bermula dari rantaian penawaran produk yang berasaskan komponen bahan seperti kayu, seramik, pasir dan lain-lain sehinggalah kepada proses pembinaan itu sendiri di mana terpaksa mencederakan sifat-sifat semuala jadi pada alam sekitar melalui pengorekan, penarahan, penambakan dan sebagainya.

Lantaran itu maka sektor ini tentunya berpotensi mencetuskan impak negatif samada secara lansung atau tidak terhadap tingkatan kualiti alam sekitar sehingga ianya berupaya mengancam kehidupan manusia, haiwan atau tumbuhan jika tidak dikawal secara sempurna.

Justeru, di atas kesedaran ini maka kita melihat betapa Kerajaan dan Pihak Berkuasa jelas komited mempertahankan fenomena alam sekitar dan bertungkus lumus memperketatkan dan menguatkuasakan pelbagai peraturan dengan objektif untuk menghindari eksploitasi alam sekitar secara berleluasa.

Selain itu, pelbagai inisiatif dan kaedah turut juga dicetuskan untuk mengatasi pencemaran, hakisan dan lain-lain.

Antara usaha tersebut ialah penggunaan mesin insinerator supaya pembakaran sampah sarap terkawal, penanaman semula pokok dihutan-hutan balak, pembersihan sungai dan sebagainya.

Walaupun begitu, Kerajaan dan Pihak Berkuasa perlu secara konsisten menasihati dan memantau para pemaju, pelabur, kontraktor dan pihak- pihak lain yang terlibat aktif di dalam sektor pembinaan dan hartanah untuk merangka kaedah pengurusan risiko yang turut memusatkan alam sekitar dan impak khususnya terhadap sosial dan ekonomi bagi stategi perniagaan mereka.

Risiko alam sekitar sewajarnya diolahkan sebagai intipati utama untuk para pemaju, pelabur, kontraktor atau pihak-pihak lain supaya memenuhi tanggungjawab sosial korporat (corporate social responsibility) selain memastikan kesinambungan komitmen yang cekal didalam mematuhi kewajipan faktor-faktor keselamatan dan kesihatan (health and safety).

Seandainya sebarang tragedi atau bencana alam sekitar berlaku yang disebabkan oleh aktiviti pembinaan dan hartanah maka menjadi tanggungjawab dan kewajipan mereka untuk menangani dan mengatasinya tanpa sesekali cuba memindahkan kos atau liabiliti kepada Kerajaan atau Pihak Berkuasa untuk menanggungnya.

Pernah satu ketika dahulu, khususnya era 90 an di mana Kerajaan dan Pihak Berkuasa jelas komited untuk merealisasikan idea 'Pembangunan Mapan' sebagai asas terpenting memastikan keperluan menyelenggara, mengawal atau memperbaiki kualiti alam sekitar supaya kesejahteraan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan berterusan secara sempurna dan terbaik dari generasi ke generasi.

Pembangunan Mapan mengkehendaki supaya setiap individu, masyarakat, swasta dan kerajaan lebih perihatin dan mewawarkan faktor kemapanan dalam setiap tindakan dan keputusan yang melibatkan alam sekitar.

Oleh itu, keperluan bekerjasama diantara satu sama lain merialisasikan faktor kemapanan ini sangat diperlukan selain menggarap pemahaman dan usaha yang tuntas menangani isu alam sekitar ini.

Apa yang pasti, pembangunan mapan adalah merujuk kepada perangkaan langkah-langkah yang perlu diambil perhatian dan tindakan hari ini demi memastikan supaya isu alam sekitar yang bersifat global seperti tukaran cuaca, kesan rumah hijau, tekanan sosial dan sebagainya yang dideritai hari ini tidak sesekali menjejas dan mengancam kehidupan masa hadapan.

Masalah tukaran cuaca mempunyai potensi yang boleh menjejaskan kualiti kehidupan.

Keadaan cuaca bersifat ekstrim seperti hujan ribut yang amat lebat dan kemarau panas yang amat kering akan mencetuskan risiko besar yang melibatkan kerugian berganda pada harta benda ataupun kehilangan nyawa yang tinggi.

Beberapa penyelidikan sebelum ini turut menjangkakan bahawa sebahagian besar bumi akan dilitupi air lantaran pemanasan global yang mencairkan blok-blok ais di kutub utara dan selatan.

Oleh itu, keperluan terhadap pembangunan mapan sangat memerlukan asas yang kukuh berpandukan kepada pemahaman mendalam mengenai isu alam sekitar, penguatkuasaan peraturan dan undang-undang, penciptaan dasar yang lebih tegar dan pendekatan yang cukup sistematik untuk memastikan kesinambungan ke arah kebaikan.

Sebagai contoh, pelbagai usaha dilakukan untuk menjimatkan penggunaan tenaga yang berlebihan melalui penciptaan rekabentuk produk yang jimat tenaga selain perancangan projek yang menggunakan kuantiti tenaga yang efektif dan efisien.

Dalam hal ini, mungkin ada baiknya jika Kerajaan dan Pihak Berkuasa mengeluarkan sijil khusus mengiktiraf pengeluaran produk jimat tenaga seperti kenderaan yang menggunakan kuantiti minyak minimal atau bangunan yang memerlukan tenaga elektrik yang rendah.

Pengeluaran sijil ini menggalakkan ramai pihak berkepentingan untuk lebih kreatif dan inovatif dalam mencipta dan mengeluar produk-produk jimat tenaga tetapi tidak berkompromi dari sudut keupayaannya.

Secara tidak lansung, penjimatan tenaga ini mempunyai kaitan rapat dengan pengurangan eksploitasi sumber-sumber alam sekitar semula jadi yang mana akan menghindari isu-isu alam sekitar dari terus berlarutan.

Sebagai contoh kekurangan penggunaan arang batu untuk menjana tenaga elektrik mengikut permintaan yang rendah tidak hanya memperlahankan aktiviti perlombongan sumber arang batu malah mengelak dari pencemaran pembuangan.

Apabila menyentuh tentang pembuangan pula, rata-rata kita melihat betapa proses pengurusan pembuangan serta kitar semula sungguh digalakkan oleh Kerajaan dan Pihak Berkuasa tetapi kurang sekali diberikan perhatian oleh umum.

Sebagai contoh, pembuangan kertas dan botol minuman merata-rata telah meningkatkan kos pembersihan dan pelupusan sampah yang merugikan.

Dalam hal ini, sewajarnya tong-tong kitaran semula diwujudkan dimana-mana khususnya di bangunan-bangunan pejabat, restoran dan pusat komersil untuk pembuangan kertas, botol, tin aluminium dan sebagainya supaya bahan-bahan tersebut diproses selain dikeluarkan semula bagi tujuan penggunaan industri sekaligus merendahkan keperluan pembersihan dan pelupusan.

Dari segi yang lain, ia juga dapat mengurangkan pencemaran berbahaya kepada alam sekitar lantaran kemungkinan sampah sarap tersebut mengandungi bahan-bahan yang merbahaya dan boleh menjejaskan kesihatan.

Antara bahan-bahan yang telah dikategorikan sebagai sangat berbahaya adalah asbestos, karbon, radioaktif dan lain-lain lagi.

Untuk menangani isu pembuangan bahan-bahan berbahaya, sewajarnya Kerajaan dan Pihak Berkuasa memperkenalkan satu sistem katalog kod pembuangan bahan-bahan berbahaya yang mengkategorikan bahan-bahan berbahaya, kaedah pembuangan dan tempat pembuangan kepada semua sektor khususnya perindustrian, pembuatan dan pembinaan supaya menjamin mereka melaksanakan sistem pengurusan pembuangan bahan-bahan sewajarnya.

Oleh itu, pencemaran berbahaya pada kandungan tanah dan sungai oleh sektor ini dapat ditangani secara berkesan, menjimatkan kos dan menyelamatkan alam.

Apapun juga, tiada satu jawapan umum yang konkrit lagi konstruktif terhadap pembangunan mapan lantaran ruang skopnya yang meluas.

Sehubungan dengan itu, setiap proses perundingan, interpretasi, keputusan atau tindakan mestilah merujuk kepada faktor-faktor spesifik, mikro dan bersifat tempatan di setiap inci kawasan sebagai komponen terpenting bagi merangka strategi kemapanan.

Sejajar dengan itu maka adalah sangat penting supaya pihak-pihak tertentu yang terlibat di dalam proses pembangunan mapan ini memperteguhkan ilmu, kemahiran dan pengalaman baru dalam memastikan cabaran kemapanan dan isu-isu alam sekitar dapat disahut dan ditangani sebaiknya.

Dr. Kamarul Rashdan Salleh

0 comments: