SAMBUT "CHINESE NEW YEAR " ?

Baru-baru ada seorang sahabat bertanya kepada saya, boleh ke kita orang Islam meraikan Tahun Baru Cina? Dan saya percaya masih ramai lagi yang mempunyai persoalan yang sama. Secara ringkasnya, saya mengatakan bahawa kita boleh menyambut Tahun Baru Cina. Bahkan digalakkan. Ini kerana, perayaan tahun baru bagi orang cina bukanlah perayaan ketuhanan, tetapi ini adalah perayaan kebudayaan bagi masyarakat cina.
Perayaan ini bukan sahaja disambut oleh orang-orang cina di Malaysia sahaja, bahkan diseluruh dunia terutamanya di Negara China. Di Negara China, terdapat lebih 100 juta umat Islam dan mereka merayakan Tahun Baru Cina.

Firman Allah:

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu,dan tidak mengeluarkan kamu dari kampong halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” - al-Mumtahanah : 9

Prof. Dr. Hamka berkata berdasarkan ketegasan ayat ini, Allah s.w.t tidak melarang umat Islam berbaik, berbuatbaik, bergaul secara baik dan berlaku adil serta jujur dengan golongan lain, baik Yahudi atau Nasrani ataupun Musyrik, selama mereka tidak memerangi umat Islam. Dengan ini, hendaklah dipisahkan di antara perbezaan kepercayaan dengan pergaulan sehar-hari.

Sabda Rasullullah s.a.w:
Bertaqwalah kepada Allah di mana sahajaengkau berada,ikutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan menghapuskannya dan gauli manusia dengan akhlak yang baik” – sunan al-Tarmizi. Hadith hasan sahih. Musnad Ahmad : 20392.

Kenapa Rasullullah s.a.wtidak mengatakan, “gauli orang-orang Islam” sebaliknya Baginda berkata “gauli manusia”. Ini kerana,di sana terdapat tanggungjawab kita sebagai umat Islam terhadapbukan Islam supaya bergaul dan bercampur dengan orang bukan Islam.

Pergaulan ini bukanlah bermuka-muka atau kepura-puraan, tetapi penuh keseriusan. Kita menampilkan cirri-ciri mulia yang sesuai dengan keinsanan. Sayyid Qutb ada menyebut, bahawa dasar melayani orang-orang bukan Islam itu merupakan dasar yang paling adil yang paling sesuai dengan tabiat Islam.

Haruslah diingati bahawa adab dan akhlak merupakan tonggak hubungan Islam dengan bukan Islam. Kemuliaan dan ketinggian akhlak menjadi tugas dakwah lebih licin dan efektif. Inilah asas-asas rahsia kejayaan generasi Islam yang lalu. Oleh itu, meneladani apa yang telah ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w merupakan suatu kemestian. Gerak-geri Baginda telah menggamit ramai orang-orang bukan Islam untuk mendekati, merapati dan cuba berjinak-jinak dengan Islam.

Selalunya kita sentiasa mengharapkan orang bukanIslam datang mendampingi kita, namun amat kurang sekali kita merendahkan diri merapati mereka. Saya kira sahabat pembaca sudah jelas bahawa kenapa kita sangat digalakkan untuk bergaul dengan bukan Islam. Dekatilah mereka dengan perasaan mahabbah (kasih sayang) terhadap mereka.

Kesimpulannya, marilah kita bersama-sama tampilkan diri, menjadi individu-individu yang bersedia untuk mempromosikan Islam kepada bukan Islam. Islam ini cantik dan indah, tetapi amat kurang di antara kita yang sanggup menyerlahkannya. Ayuh kita jadikan Islam produk kita.


JOM BERDAKWAH.

0 comments: