BANTAHAN FORUM MEMELUK ISLAM



Forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam yang telah berlangsung pada 9 Ogos 2008 akhirnya telah berjaya dibatalkan atas desakan serta bantahan oleh badan-badan Islam, mahasiswa dan orang ramai. Semangat dan kesatuan tanpa memikirkan fahaman politik, fikrah dan kepentingan pihak-pihak tertentu dalam menghalang forum ini adalah suatu yang patut dipuji. Pas, PPIM, GAMIS, UMNO, PEKIDA, GPMS dan lain-lain, tahniah saya ucapkan.

Cumanya, saya kurang bersetuju dengan beberapa tindakan oleh sesetengah pemidato dan beberapa individu demostrasi. Ada sesetengah pemidato yang menimbulkan isu perkauman iaitu isu Melayu Islam. Kita perlu ingat bahawa isu forum bukan hanya isu melayu Islam tetapi isu umat Islam. Di kalangan yang hadir bantahan tersebut ada di antaranya orang Islam daripada bangsa lain seperti Cina, India dan luar Negara. Seterusnya, ada juga individu yang memaki hamun peserta forum yang keluar daripada bangunan Majlis Peguam. “hey Babi” lah dan lain –lain.

Dalam sembang ringkas saya dengan beberapa orang daripada peserta forum tersebut, beliau mengatakan bahawa, ahli panel forum tersebut terdiri daripada peguam non-muslim dan pesertanya ada yang terdiri daripada Cina Muslim, India Muslim dan Melayu. Menurutnya, mereka (muslim) yang hadir sebagai peserta ke forum tersebut adalah untuk mengetahui perkara yang sebenar dibincangkan. Jika terdapat isu-isu sensitif yang yang menyentuh atau mempersoalkan undang-undang Islam dibincangkan, mereka akan bangkit utuk mempertahankan Islam. Namun perbincangan forum tidak menyentuh langsung tentang hak mahkamah syariah dan umat islam melalui pindaan perkara 121(1a) perlembagaan bersekutu. Mungkin tidak ada kesempatan setelah menerima desakan dan bantahan umat Islam.

Bantahan bukan hanya setakat bantahan semata-mata. Ini tidak cukup. Di sana perlu ada penjelasan dan penerangan yang baik serta jelas tentang isu ini. Agar masyarakat awam memahami apa sebenarnya yang berlaku dan juga tidak menimbulkan salah faham dikalangan bukan Islam. Kita sepatutnya melahirkan rasa bimbang kemungkinan-kemungkinan akan ada pihak-pihak tertentu yang mempergunakan isu ini untuk mengelirukan masyarakat dan merendah-rendahkan kedudukan Islam. Perkara seperti ini perlu dielakkan. Kita mesti menjelaskan kenapa, sebab dan mengapa forum seumpama ini patut dibatalkan.

0 comments: