Secara idealnya gerakan mahasiswa mestilah bersifat satu gerakan bebas yang tidak bergantung atau berharap kepada mana-mana gerakan yang berada di luar kampus. Kepimpinan dalam gerakan mahasiswa ini perlulah menggunakan kreativiti mereka masing-masing untuk mengemudi dan melayari gerakan mereka. Mereka tidak sepatutnya amat mengharapkan berlakunya keselarian dan persamaan dengan gerakan di luar. Bahkan mereka tidak perlu di pertanggungjawab dengan apa yang berlaku terhadap gerakan-gerakan di luar kampus.
Gerakan mahasiswa perlulah memiliki pandangan sendiri yang dibina daripada keyakinan, keilmuan, maklumat yang dimiliki oleh mereka. Suara mahasiswa biarlah bersifat tidak menjaga kepentingan golongan tertentu yang berada di luar kampus. Suara mahasiswa akan hilang taringnya atau sudah tidak berbisa lagi sekiranya hanya bersifat ‘rubber stamp’ kepada gerakan-gerakan di luar kampus. Suara mahasiswa sebaliknya akan lebih suci dan dihormati jika lahir daripada hati-hati yang cintakan kebenaran hakiki tanpa mengenal kepada siapa ianya ditujukan. Yang salah mestilah diperbetulkan secara mati-matian, walaupun pahit untuk diterima oleh masyarakat dan gerakan-gerakan diluar kampus. Yang benar wajiblah diperagungkan walaupun jutaan cabaran yang dihadapi. Kalau adapun berlakunya persamaan dan berbetulan dengan pandangan masyarakat dan gerakan-gerakan luar kampus. Ianya dianggap sebagai suatu perkongsian kebenaran yang bersifat universal.
Pada masa yang sama, masyarakat dan gerakan-gerakan luar tidak boleh memandang sinis atau sepi terhadap buah fikiran yang dikemukakan oleh gerakan mahasiswa. Manakala bagi pihak gerakan mahasiswa, mereka tidak boleh berlagak seperti pemimpin-pemimpin masyarakat atau gerakan-gerakan diluar kampus. Unsur-unsur negatif seperti menjaga kepentingan individu-individu tertentu diluar kampus perlulah dijauhi. Apa yang dikehendaki di sini ialah mahasiswa bertanggungjawab menjadikan gerakannya sebagai gerakan mahasiswa yang tulen dan tidak menjadikan gerakan mahasiswa hanya sebagai cabang-cabang kepada gerakan pertubuhan-pertubuhan, persatuan atau jamaah diluar kampus. Inilah antara konsep-konsep penting yang perlu difahami oleh semua ahli-ahli dan terutamanya barisan kepimpinan gerakan mahasiswa.
- sumber PMRAM
0 comments:
Post a Comment