Alam ini sangat berkait rapat dengan PenciptaNya iaitu Allah s.w.t. Setiap inci alam ini semuanya mempunyai keistimewaan dan peranannya tersendiri. Masing-masing saling bergantungan membentuk interaksi yang baik dan membina keseimbangan yang harmoni. Interaksi dan keseimbangan ini membentuk sistem yang sangat kompleks yang merangkumi manusia, haiwan, tumbuhan, cuaca, lautan dan daratan.
Dalam menguruskan dan mentadbir alam ciptaanNya, maka Allah telah menjadikan manusia di muka bumi sebagai khalifah. Firmannya :
“Ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata: "Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerusakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji Engkau dan mensucikan Engkau?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."
(al-Baqarah : 30)
Bagi memudahkan tugasan para utusanNya (nabi & rasul), Allah memberikan manual dan panduan iaitu Kita-kitabNya yang benar sebagai panduan mentadbir dan menguruskan alam ini. FirmanNya :
”Manusia itu adalah umat yang satu. (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, yaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, karena dengki antara mereka sendiri. Maka Allah memberi petunjuk orang-orang yang beriman kepada kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkann itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah selalu memberi petunjuk orang yang dikehendaki-Nya kepada jalan yang lurus.”
(al-Baqarah : 213)
Islam adalah peraturan hidup yang terbaik dan kekal abadi yang boleh diberikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Inilah sebabnya Allah menjadikannya sebagai peraturan hidup yang mesti diterima oleh seluruh umat Islam dalam semua urusan mereka dan tidak boleh ditukar ganti dengan peraturan lain dan sistem lain dalam apa-apa keadaan sekalipun.
Allah berfirman :
”Di hari ini Aku menyempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku menyempurnakan ke atas kamu nikmatKu, dan Aku redha bagi kamu Islam sebagai Agama.”
(al-Maaidah : 3)
Konsep agama atau al-deen (istilah yang digunakan oleh Al-Quran) menurut Islam mencakupi semua bidang kehidupan. Islam bukan sekadar mengatur hubungan manusia dengan tuhan melalui upacara ritual tetapi merupakan manhaj al-hayah (sistem kehidupan) yang lengkap. Sebagai sebuah sistem kehidupan yang lengkap, Islam telah mengatur hubungan sesama manusia serta hubungan manusia dengan alam sekitar, selain daripada mengatur hubungan manusia dengan penciptanya. Sistem kehidupan Islam seperti yang termaktub di dalam Al-Quran adalah mencakupi semua aspek kehidupan manusia.
0 comments:
Post a Comment