GAYA HIDUP LESTARI

Oleh
Prof. Datuk Dr. Zaini Ujang

Gurmit Singh – tokoh pencinta alam yang selalu berbasikal, mengusaha
pertanian organik, pengamal kitar semula barang terpakai dan mempromosi
penggunaan tenaga suria - dipilih sebagai pemenang Anugerah Pengguna
Lestari sempena Hari Pengguna Malaysia pada 26 Julai lalu, anjuran
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Gurmit
dipilih kerana komitmennya terhadap gaya hidup dan kepenggunaan lestari,
selari dengan tema kesederhanaan menjamin kesejahteraan dan slogan
"Amalkan Penggunaan Lestari".

Selain kepentingannya, kepenggunaan lestari dipilih sebagai slogan sesuai
dengan keadaan semasa dengan peningkatan kadar inflasi, kenaikan harga
barang serta perkhidmatan. Menurut jangkaan laporan ekonomi terkini, kadar
inflasi 7.7 peratus di Malaysia pada Jun 2008 diramal akan terus meningkat.
Peningkatan ini dipengaruhi pelbagai faktor ekonomi, termasuklah kenaikan
tambang kenderaan awam sebelum Hari Raya Aidilfitri, sebagaimana yang
diumumkan Datuk Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan
Koperasi.

Ketika memberi ucaputama Seminar Gaya Hidup Lestari anjuran FOMCA
pada 24 Julai lalu, saya mengemukakan kepentingan dan rational gaya hidup
lestari untuk mencapai kesejahteraan. Pada asasnya, gaya hidup lestari
mempunyai tiga nilai utama, iaitu
• amalan bersederhana dalam kehidupan harian
• berbelanja menurut kemampuan dan keperluan, bukan gaya dan
pengaruh iklan
• pelestarian alam sekitar.

Amalan hidup sederhana merupakan ajaran agama bukan sahaja Islam,
bahkan semua agama. Sederhana maksudnya tidak keterlaluan dan
berlebihan dari segala segi, khususnya yang melibatkan perbelanjaan dan
gaya hidup. Sederhana bermakna kita perlu mengkaji buruk baik sebelum
melakukan setiap tindakan agar mencapai matlamat dengan efisien dan
efektif dengan biaya optimum.

Sebagai contoh, sederhana dalam berpakaian mestilah sesuai dengan
keperluan kerja atau santai dengan matlamat untuk menurut aurat. Apalah
gunanya kita berbelanja besar tetapi aurat masih terbuka. Dengan matlamat
jelas maka gaya hidup akan lebih terarah, tanpa perlu membazirkan wang
berbelanja membeli pakaian mahal sehingga ada kalanya terpaksa pula
berhutang. Jika demikian maka kita berbelanja tidak menurut kemampuan
dan terkeluar dari definisi kesederhanaan.

Selain itu, kepengunaan lestari juga mementingkan alam sekitar. Ketika ini
banyak barang dan perkhidmatan mesra alam yang mematuhi pelbagai
piawaian alam sekitar. Hal ini memudahkan pengguna memilih supaya dapat
membantu melestarikan alam sekitar. Dari segi kuantum, pengguna barang
dan perkhidmatan mesra alam di Amerika Syarikat dan United Kingdom sahaja membelanjakan 500 billion dollar setahun. Trend ini dijangka akan
terus meningkat dan melangkaui sempadan negara-negara maju. Paling
ketara ialah kereta hibrid dengan pertumbuhan 2,296 peratus sejak mula
diperkenalkan pada tahun 2000.

Namun demikian, tidak semua barang dan perkhidmatan ”mesra alam” benar-
benar menepati standard diharapkan. Menurut satu laporan dikeluarkan di
Eropah tidak sampai 10 peratus barang ”mesra alam” menepati ciri dan
keperluan pelestarian alam sekitar menggunakan kaedah analisis tapak
ekologi.

Paling ketara ialah biofuel yang dihasilkan menerusi komoditi berasaskan
makanan seperti jagung dan minyak sayuran. Ketika ini, dua faktor utama
dalam analisis tapak ekologi membuktikan bahawa biofuel tersebut dianggap
tidak mesra alam. Pertama, penggunaan komoditi berasaskan makanan telah
menyebabkan suasana panik dalam pasaran komoditi sehingga harga
makanan dunia melambung sekaligus menjejaskan penduduk negara miskin.
Kedua, jumlah karbon dihasilkan menerusi penanaman, penuaian, penjanaan
dan pengangkutan bahan jauh lebih tinggi berbanding karbon dihasilkan
dalam proses pembakaran enjin. Hal ini tidak rasional kerana tujuan
menggunakan biofuel ialah untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam
pembakaran enjin kenderaan ke ruang atmosfera.

Itulah sebabnya pasaran Eropah tidak lagi menggunakan biofuel dihasilkan
menerusi komoditi makanan pada tahun 2014. Tanaman lain seperti jatropa
dijangka akan mengambil komoditi makanan sebagai sumber biofuel sedikit
masa lagi.

Dengan kata lain, pengguna lestari perlu memastikan setiap barang dan
perkhidmatan yang dibeli mematuhi konsep mesra alam dari pelbagai sudut,
khususnya dari segi pelepasan karbon. Seperti saya coretkan dalam ruangan
ini beberapa minggu lalu, konsep pembangunan masa depan dijangka lebih
fokus kepada model ekonomi karbon neutral, iaitu penjanaan dan
penyerapan karbon dirangka terlebih dahulu menerusi pelbagai aktiviti
pembangunan. Sehubungan itu, dakwaan pengeluar dan penjual menerusi
pelbagai promosi dan iklan semata-mata tentang ciri ”mesra alam” perlu
diselidiki kesahihannya.

Kadangkala sebagai pengguna, kita mudah terpengaruh dan akhirnya akur
dengan gaya dan model terkini yang seringkali dipamerkan menerusi media
massa. Golongan selebriti pula dipergunakan dengan penampilan menolok
yang mengoda! Kononnya kita perlu berpakaian jenama mahal dan berkereta
canggih untuk tampak bergaya dan berprestij. Kononnya kita juga perlu
memakai barang kemas dari kacamata, pena, jam tangan, cincin, kasut dan
beg trend terkini, biarpun terpaksa berhutang untuk barang bukan keperluan
asasi.

Begitu juga dengan peralatan, perkakasan, perabut dan urusan lain dalam
kehidupan. Penawaran pasaran menjadi semakin canggih, beraneka, rencam,
menjerat tetapi tampak semakin mesra pelanggan. Dari satu segi, kerencaman dan kecanggihan itu banyak manfaatnya. Urusan dan cara hidup
menjadi lebih cepat, mudah dan bergaya walaupun mahal dan kadangkala
membingungkan.

Dari perspektif ekonomi, keadaan ini dianggap baik dan membantu ke arah
merangsang pertumbuhan ekonomi. Kononnnya, kepenggunaan sedemikian
menyumbang ke arah peningkatan gaya hidup lebih ”kompetitif”. Tandanya
masyarakat semakin ”makmur”, ”maju” dan ”mewah”. Persoalannya, apakah
gaya hidup sedemikian mencerminkan kesederhanaan dan kelestarian?

Gaya hidup lestari mestilah berasaskan prinsip pengurusan lestari alam
sekitar supaya pengguna membeli mengikut keperluan dan tidak berlebihan.
Ini penting kerana penghasilan semua barang atau perkhidmatan
memerlukan sumber asli yang semakin sedikit iaitu bahan mentah, galian, air,
bahan api fosil, pokok dan sebagainya. Selain itu, semua proses dalam kitar
hayat sesuatu barang menghasilkan karbon yang tidak sedikit daripada
penjanaan sumber asli, pemprosesan, pengangkutan, penggunaan dan
pelupusan.

Konsep kepengunaan lestari mengajar kita untuk lebih prihatin, saintifik dan
cuba memahami falsafah dan menghayati cara hidup hakiki. Kita juga perlu
lebih banyak berfikir dan tidak terikut-ikut dengan trend semasa. Pengguna
lestari – sebagaimana Gurmit - arif dan bestari. Bagi mereka matlamat
mengatasi bentuk dan perupaan. Sebagai contoh, jam bernilai bukan kerana
harga, jenama, negara pengeluar, bahan buatan dan kemasannya, tetapi
adalah alat penting yang diperlukan untuk menepati masa!

Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor
(Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

0 comments: