Konsep Islam di dalam Pengurusan Pembangunan dan Perbandaran.

Pembangunan

Pendekatan Islam terhadap usaha membangun dan memanfaatkan sumber-sumber asli dapat disimpulkan dari nasihat Sayyidina Ali bin Abi Talib, Khalifah keempat kepada seorang pengusaha yang telah membangunkan tanah terbiar:

”Usahakanlah dengan rasa gembira, asalkan engkau seorang yang membawa kepada kebaikan bukan kejahatan; yang berniat untuk membangunkan ladang bukan untuk mendatangkan kemusnahan”.[1]

Salah satu manifestasi ketidak syukuran manusia kepada Allah S.W.T. ialah pembaziran dan pemborosan yang telah mengakibatkan pemusnahan sumber dan penghasilan bahan buangan yang bertambah-tambah kuantitinya setiap tahun. Hutan tropika yang penuh dengan khazanah yang tidak ternilai diterokai dan dimusnahkan dengan rakusnya melalui eksploitasi yang tidak berteraskan pengurusan lestari.

Habitat untuk hidupan liar juga dimusnahkan bahkan hidupan itu sendiri dibunuh dengan kejam dimana sebahagian daripada badannya akan dijadikan hiasan. Inilah sifat syaitan yang sentiasa tidak bersyukur kepada Tuhannya. Allah S.W.T. berfirman:

Maksudnya :
”Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu amat engkar akan Tuhannya.[2]


Perbandaran

Dari perspektif sejarah perabadan Islam, unsur keseimbangan antara manusia dan alam sekitar sangat ditekankan. Secara langsung unsur ini telah diaplikasikan di dalam kelompok masyarakat Islam sama ada di perkampungan kecil ataupun di bandar besar.

Aspek perbandaran dan senibina ini sangat diberi perhatian serius kerana ketika ini kebanyakan pusat-pusat bandar merupakan pusat berlakunya masalah alam sekitar. Dalam menghadapi permasalahan alam sekitar ini, ramai tokoh mencadangkan supaya disepadukan antara perancangan senibina dengan aspek langskap. Kemudian keduanya diharmonikan dengan alam sekitar yang semulajadi.

Dalam peradapan Islam, penyepaduan ketiga-tiga unsur ini, iaitu senibina, langskap dan alam sekitar, telah dilaksanakan dengan jayanya. Kejayaan ini masih lagi wujud biarpun hanya tinggal sejarah[3]. Namun inilah hakikat yang menjadi bukti bahawa Islam pernah menempa kejayaan di dalam pembangunan bandar.

Pelaksanaan penyepaduan ini telah membentuk suatu kehidupan yang sangat harmoni, berlatarbelakangkan panorama yang indah, serta penggunaan unsur-unsur alam sekitar secekapnya tanpa menjejaskan kualiti alam sekitar. Namun, Sains dan kepakaran tentang langskap serta perancangan bandar ini, yang dikuasai umat Islam tidak dibukukan tetapi hanya diperturunkan secara warisan daripada satu generasi ke satu generasi.

Menurut Profesor Nasr lagi, ”Senibina dan perancangan bandar yang dibangunkan di dalam bandar-bandar Islam tidak pernah bertentangan dengan alam semulajadi”. Inilah hasil penggunaan Sains Islam secara praktikalnya yang merangkumi hampir semua disiplin ilmu, seperti Kosmologi, Geografi, Geometri, Hidrologi, Astronomi, Alkimia, teknologi dan seumpamanya.

Perancangan terhadap rumah-rumah, masjid, jalanraya, bazar, pasar dan lain-lainnya (tentang kehidupan sesebuah bandar) telah menggunakan pelbagai faktor yang telah sedia wujud semaksima mungkin. Contohnya, di gurun yang panas, lorong-lorong sempit telah dibina untuk memerangkap udara malam yang sejuk pada waktu siang. Manakala di kawasan yang bersuhu panas eperti di tengah kawasan gurun Kavir di Parsi, menara-menara angin[4] telah digunakan untuk mengalihkan udara ke rumah, aras bawah tanah pula digunakan sebagai tempat perlindungan pada musim panas serta tangki air diletakkan di bawah tanah untuk membekalkan air sejuk. [5]
_____________________________________________
[1] Athar diriwayatkan oleh Yahya ibnu Adam dalam kitab al-Kharaj
[2] Surah Al-Israk : 27
[3] misalnya : kawasan selatan Motoko, Mazandaran di utara Parsi dan di sepanjang kaki-kaki bikit Aborz serta banjaran Hindu Kush.
[4] Contohnya di pusat-pusat Bandar Parsi, seperti di Yazd, Kashan dan Kerman.
[5] Zaini Ujang. Environmemtalisme dalam Tata Baru Dunia. Kuala Lumpur. Institut Kajian Dasar.1992. hlm. 39-41.

0 comments: