Peranan Akidah di dalam Pemuliharaan Alam Sekitar

Teras kepada akidah Islam ialah prinsip Tauhid, iaitu meyakini tentang keesaan Allah. Prinsip Tauhid menegaskan bahawa Tuhan tidak mempunyai sekutu-sekutu pada zat dan sifatnya, bahkan tidak ada sesuatupun yang menyamai pada perbuatannya. Sesungguhnya, keseluruhan ajaran Islam adalah ditegakkan di atas prinsip Tauhid ini. Menurut prinsip Tauhid, Allah bukan sahaja menciptakan seluruh alam semesta tetapi turut mengaturkan perjalanannya serta memusnahkannya apabila sampai masa yang dijanjikan.

Oleh sebab itu, seluruh yang wujud di dalam alam semesta ini adalah kepunyaan Allah secara mutlak. Firman Allah :


Maksudnya:
Kepunyaan Allahlah segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha kaya lagi Maha Terpuji.

Sekiranya terdapat di kalangan makhluk termasuklah manusia berlagak seperti Allah (sebagai Tuhan), pastilah berlaku kerosakan ke atas alam semesta. Perkara ini digambarkan oleh Allah di dalam Kalam-Nya :



Maksudnya :
Sekiranya ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan selain Allah, tentulah keduanya telah rosak binasa. Maka Maha suci Allah, yang mempunyai A’rasy daripada apa yang mereka sifatkan.

Prinsip Tauhid juga menekankan kepercayaan terhadap sifat-sifat Allah yang Maha sempurna serta nama-namanya yang Maha Terpuji. Seluruh yang berlaku di dalam alam semesta ini tidak terlepas daripada pengawasan Allah yang memiliki segala sifat kesempurnaan. Penganut-penganut Islam telah ditanam dengan keyakinan bahawa Allah maha berkuasa untuk memberi pembalasan baik dan pembalasan buruk terhadap seluruh perlakuan makhluk khususnya manusia di atas muka bumi ini. Menyedari hakikat tersebut, manusia mestilah berhati-hati di dalam melakukan tindakan semasa menjalani kehidupan di dunia, kerana semua tindakannya pasti diketahui oleh Allah serta dibalas dengan balasan yang setimpal.

Menurut Islam, penciptaan alam semesta ini bukanlah untuk perkara yang sia-sia, sebaliknya mempunyai beberapa tujuan yang tertentu. Di dalam Al-Quran telah diterangkan tentang beberapa tujuan mengapakah alam semesta diciptakan:

a. Penciptaan alam semesta ini adalah sebagai bukti tentang kewujudan Allah.

Maksudnya :
”katakanlah, siapakah yang memberikan rezeki kepadamu di langit dan di bumi, atau siapakah yang berkuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati, dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, dan siapakah yang mengaturkan segala urusan? Maka mereka akan menjawab, ”Allah”. Maka katakanlah, mengapa kamu tidak bertaqwa (kepadaNya).”

Kewujudan Allah dapat dibuktikan melalui penjelasan Al-Quran yang merupakan bukti-bukti yang boleh dibaca (ayat al-maqruah), serta kejadian alam semesta yang merupakan bukti-bukti yang dapat dilihat (ayat al-manzurah). Menurut aqidah Islam, kewujudan Allah adalah kewujudan yang mutlak, manakala kewujudan alam semesta pula adalah tertakluk kepada kehendak Allah.

b. Penciptaan alam semesta adalah sebagai sumber perantaraan kepada manusia untuk memperolehi ilmu daripada Allah .

Berhubung dengan perkara ini, Osman Bakar telah menerangkan sebagaimana berikut :

Nature is a source of many types of knowledge: mathematical, physical and metaphysical, scientific and spiritual, qualitative and quantitative, practical and aesthetical.

Kejadian alam semesta adalah ibarat ‘makmal terbuka’ untuk diselidiki dan difikirkan oleh manusia, sesuai dengan peranannya sebagai makhluk yang telah diamanahkan untuk memakmurkan alam. Di dalam sebuah Hadis Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud:

“Berfikirlah kamu tentang kejadian Allah (alam semesta) dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak akan mengetahui hakikat sebenarnya”.

Pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah tentang alam semesta ini telah mengangkat martabat manusia lebih tinggi daripada makhluk-makhluk yang lain .

c. Penciptaan alam semesta ini adalah satu kurniaan kepada manusia untuk dipergunakan bagi memperolehi keperluan hidup mereka. zBagaimanapun, manusia mesti menyedari bahawa alam semesta ini adalah milik Allah, justeru mereka tidak dibenarkan sama sekali memusnahkannya.

d. Penciptaan alam semesta juga adalah untuk memudahkan manusia melakukan pengabdian kepada Allah. Sebagai contoh, Allah menurunkan air supaya dapat digunakan oleh manusia untuk bersuci dalam proses melakukan ibadat kepadanya. Di samping memberi kemudahan kepada manusia untuk beribadat, seluruh alam semesta sendiri turut beribadat dengan berzikir memuji Allah .

e. Penciptaan alam semesta adalah untuk menilai siapakah di kalangan manusia yang paling baik amalannya. Hakikatnya, kewujudan alam semesta ini adalah satu ruang kepada manusia untuk melakukan amal kebaikan sesama makhluk. Perjalanan alam semesta ini adalah menurut peraturan yang telah ditentukan oleh penciptanya (Allah).

Peraturan alam semesta ini disebut sebagai sunnatullah. Seluruh alam semesta kecuali manusia tiada mempunyai pilihan selain tunduk kepada peraturan yang telah ditetapkan. Bagi manusia pula, mereka telah diberi pilihan untuk tunduk atau engkar terhadap peraturan yang ditetapkan oleh Allah. Sekiranya manusia tunduk kepada peraturan Allah, mereka pasti akan menjalani kehidupan yang harmoni bersama alam semesta yang lain dan demikianlah pula sebaliknya.

Bagi memastikan manusia membuat pilihan yang tepat, Allah telah mengurniakan manusia hikmah (kebijaksanaan) malah mengutuskan para Rasul untuk membawa petunjuk. Berbeza dengan pandangan kumpulan naturalist, Islam melihat alam semesta ini tidak mempunyai sifat-sifat ketuhanan. Meskipun demikian, alam semesta ini mempunyai sifat-sifat yang tertentu iaitu :

a. Mizan (seimbang)

Keseluruhan yang wujud dalam alam semesta ini sama ada yang diketahui ataupun tidak diketahui wujud secara berpasangan, iaitu mempunyai dua entiti atau polariti yang saling bertentangan sifatnya . Kewujudan pasangan-pasangan ini pula adalah dalam keadaan yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain. Sifat kesimetrian (mizan) yang wujud di antara pasangan-pasangan ini adalah penting bagi menyempurnakan peredaran sistem alam semesta. Jadi, manusia mestilah memahami bahawa komponen-komponen alam semesta ini bukanlah berfungsi secara bersendirian atau terpisah.




b. Tawazun (keseimbangan)

Kesimetrian yang wujud di dalam alam semesta akan membentuk tawazun (keseimbangan), iaitu sesuatu fenomena yang tidak melampau. Keseimbangan yang wujud menyebabkan seluruh alam semesta berada dalam keadaan yang harmoni. Keadaan ini terus berkekalan sehingga tercetusnya gangguan yang selalunya dilakukan oleh manusia. Peraturan-peraturan yang telah ditentukan oleh Allah adalah untuk menghalang tercetusnya gangguan terhadap keseimbangan alam semesta.

c. Nasim (segar)

Seluruh alam semesta ini juga mempunyai sifat nasim (segar) sebagai lambang rahmat Allah kepada kehidupan. Di dalam Al-Quran terdapat beberapa ayat yang menyatakan bagaimana Allah melimpahkan rahmatnya kepada kehidupan melalui tiupan angin dan penurunan hujan . Sifat kesegaran itu turut digambarkan oleh Al-Quran melalui penjelasan tentang kesuburan tumbuh-tumbuhan yang mempunyai kepelbagaian jenis dan sifat. Lebih daripada itu, Al-Quran juga turut menampilkan suasana kehijauan yang merupakan simbol kesegaran kepada para pencinta alam sekitar masa kini. Berkaitan dengan sifat nasim, alam semesta ini juga mempunyai sifat soleh (baik) dan hasan (elok).

d. Jamal (indah)

Allah juga telah menciptakan seluruh alam semesta ini mempunyai sifat jamal (indah). Di dalam Al-Quran disebutkan bahawa kejadian tumbuh-tumbuhan serta haiwan-haiwan mewujudkan pemandangan yang indah kepada manusia Keindahan kejadian alam semesta ini juga merupakan zinah (perhiasan) yang menimbulkan ketenangan kepada manusia. Sifat keindahan mempunyai hubungan yang rapat dengan kejadian alam semesta yang penuh dengan kerapian (qadaran maqdura). Semua sifat-sifat alam semesta yang dikemukakan adalah lambang kepada kebijaksanaan Allah yang telah menciptakannya.

Bagaimanapun alam semesta ini terbuka (taskhir) untuk menerima sebarang perubahan yang dilakukan oleh manusia. Potensi yang dikurniakan oleh Allah kepada manusia itu bukanlah untuk manusia bertindak sewenang-wenangnya sebaliknya merupakan kelengkapan untuk mereka memikul tanggungjawab di dalam kehidupan. Bagi memahami peranan manusia terhadap alam sekitar, Sayyed Hossien Nasr telah menggariskan tiga tanggungjawab dalam kehidupan manusia iaitu tanggungjawab u’budiyyah, khalifah dan amanah.

a. Tanggungjawab U’budiyyah

Manusia diciptakan oleh Allah untuk melakukan pengabdian terhadapnya. Pengabdian yang dimaksudkan ialah dengan menuruti segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya. Oleh sebab itu, mereka tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya terhadap alam sekitar melainkan menuruti peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh penciptanya (Allah).

b. Tanggungjawab Khalifah

Manusia telah dipilih oleh Allah S.W.T. untuk menjadi khalifah di bumi ini. Allah S.W.T. berfirman:


Maksudnya :
”Sesungguhnya Aku akan menjadikan seorang khalifah di atas
Bumi”

Sebagai khalifah manusia telah diberi amanah dengan tugas yang mulia tetapi amat mencabar iaitu menguruskan dan menegakkan keamanan dan keadilan (order) di bumi. Dia harus berhati-hati dan berwaspada semasa membuat perancangan dan menjalankan pembangunan sumber-sumber alam agar tidak terjerumus menjadi golongan pemboros yang dibenci oleh Allah S.W.T. Allah S.W.T. berfirman:



Maksudnya :
”Sesungguhnya orang-orang membazir itu adalah saudara syaitan”

Manusia juga telah diberikan peranan sebagai khalifah di atas muka bumi yang bertanggungjawab untuk memakmur dan menguruskannya. Mereka bukanlah penguasa (pemilik) muka bumi sehingga boleh membuat sebarang tindakan mengikut kehendak sendiri. Manusia juga ditegah dengan sekeras-kerasnya oleh Allah daripada melakukan sebarang kerosakan terhadap alam sekitar.

Walaupun manusia telah diberi mandat untuk memakmur dunia ini dan mengambil manfaat daripada sumber-sumber alamnya, dia tidak akan mengkhianati amanah tersebut. Pengurusan sumber alam yang bijak dan teratur akan dilaksanakan dan segala langkah-langkah akan diambil untuk mempastikan sumber- sumber ini tidak akan disalah gunakan hanya untuk mendapatkan habuan ekonomi jangkamasa pendek. Dunia dan segala isinya adalah milik semua penghuni dunia merangkumi generasi sekarang dan akan datang. Khalifah akan memegang teguh prinsip bahawa tidak ada toleransi dalam penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan sumber alam yang mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan. Allah S.W.T. berfirman:



maksudnya : ”jangan kamu melakukan kerosakan di bumi”

c. Tanggungjawab Amanah

Sungguhpun alam semesta ini adalah milik mutlak Allah, manusia telah diberi keizinan untuk menggunakannya bagi memperolehi keperluan hidup. Manusia boleh menggunakan semua yang ada di bumi ini menurut peraturan-peraturan yang telah dikemukakan di dalam Al-Quran dan al-Sunnah. Oleh sebab itu, alam sekitar adalah satu amanah daripada Allah supaya dipergunakan menurut landasan yang telah ditentukan.

Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas, dapat diperhatikan bahawa akidah mempunyai peranan yang penting ke arah membina pandangan alam yang harmoni terhadap alam sekitar. Pandangan alam seperti yang dikemukakan oleh Islam begitu menitikberatkan hubungan tiga penjuru, iaitu di antara Tuhan, manusia dan alam tabii. Disebabkan pandangan alam ini berkaitan dengan persoalan akidah, maka ia sudah pasti tersemat kukuh di dalam kepercayaan seseorang muslim. Pandangan alam yang harmoni pada diri seseorang muslim sudah pasti mendorongnya bertindak secara berhemah terhadap alam sekitar.

Selain daripada itu, akidah juga memainkan peranan yang penting bagi memupuk falsafah hidup seseorang muslim. Penganut-penganut Islam ditanam dengan kepercayaan bahawa penciptaan alam semesta bukanlah tanpa matlamat tertentu. Penganut-penganut Islam juga diyakinkan bahawa kewujudan mereka sendiri mempunyai matlamat, iaitu untuk menyempurnakan tanggungjawab u’budiyyah, khalifah dan amanah. Mereka mestilah menyempurnakan tanggungjawab-tangungjawab tersebut, yang juga termasuk di dalamnya tanggungjawab memulihara alam sekitar.

-petikan kertas kerja.

3 comments:

Terima kasih atas input ini. Saya gunakan ia untuk disebarkan. Semoga Allah membalas jasa penulis.

 

salam.saudara..utk pgtahuan saudara ana jg sedang berada d thun akhir dan dalam proses mnyiapkan tesis ana.ana blajar d UMS major geografi.tjuk tesis ana "kesejahteraan alam sekitar dari perspektif islam".ana kekurangan bahan rujukan yang berkaitan dengan tesis ana tue.boleh anta berkongsi bhan rujukan dgn ana..kalu x pun,bg tau saya mcm mn sy nak dptkan bhn rujukan trsbut.syukran.salam dr kjauhan...

 

iiman87@yahoo.com.my.ini emel ana utk comment di atas