MAHASISWA DI BUKIT ANTARABANGSA

Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) baru-baru ini telah menghantar Skuad Sukarelawan GAMIS turun ke tempat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 14 buah banglo di Bukit Antarabangsa. Skuad ini diketuai oleh Pengerusi Majlis Dakwah & Kebajikan (MDK) GAMIS, Mohd Yusri Hafiz Yusoff bersama 20 orang sukarelawan GAMIS yang terdiri daripada mahasiswa UM, UPM, UTP, UIA, UiTM Shah Alam dan Kolej Lagenda. Skuad mahasiswa ini bersama-sama 2 NGO iaitu Disaster & Emergency Respons Unit (DERU) JIM dan Unit Amal Malaysia, telah membantu mengangkut barang & mengagihkan makanan kepada mangsa tanah runtuh.

Hari Pertama, 11 Disember 2008

Bermula pukul 5.30 petang, skuad sukarelawan GAMIS menaiki trak Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)bergerak untuk menghantar barang-barang mangsa yang telah di angkut ke Bukit Beruntung. Dua trak MPAJ telah digunakan. Setibanya di Taman Kekwa, Bukit Beruntung, skuad mahasiswa ini turut dibantu oleh skuad DERU JIM Bukit Beruntung untuk memindah masuk barang mangsa ke rumahnya. Setelah solat maghrib di rumah mangsa, kerja-kerja pemindahan dari trak kedua diteruskan.Namun , sedikit insiden berlaku apabila trak MPAJ secara tidak sengaja terlanggar tiang pintu pagar ketika hendak keluar dari halaman rumah. Selepas Isyak, pemindahan ini selesai.

Hari Kedua, 14 Disember 2008


Pada hari yang kedua, skuad mahasiswa ini bersama Unit Amal Malaysia & DERU JIM menjalankan tugas pemindahan barang mangsa daripada kediamannya di Impiana Selatan. Sebelum itu, setiap petugas dikehendaki menulis nama di kaunter MPAJ & mengambil Pas Masuk sebagai langkah keselamatan. Kemudian menaiki pacuan 4 roda MPAJ ke Impiana Selatan.

Pemindahan barangan terpaksa dihentikan sebelum pukul 2 petang kerana jalan akan ditutup antara 2-5 petang untuk memberi laluan kepada pasukan tentera membuka jambatan besi yang telah di pasang pada awal kejadian tanah runtuh beberapa hari lalu. Namun, belum sempat keluar, pihak polis tidak membenarkan untuk keluar daripada kawasan itu kerana jalan telah pun ditutup. Jalan akan dibuka semula selepas pukul 5.00 petang. Dan kebetulan ketika itu, hujan lebat menyebabkan laluan untuk ke Impiana Selatan & Bukit Utama di tenggelami air. Turut berada di kawasan itu, ahli Parlimen Titiwangsa, Dr. Lo’ Lo’ bersama skuad kebajikannya.

Sementara menunggu jalan keluar dibuka, skuad mahasiswa ini membantu mengagihkan bungkusan makanan & minuman yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Malaysia di pos Unit Amal Malaysia, kepada petugas & juga mangsa-mangsa yang terdiri daripada bangsa melayu, cina & India. Solat zohor & Asar di lakukan secara berjemaah di tepi jalan di pos Unit Amal Malaysia. Tepat pukul 5.30 petang jalan telah dibuka.


Hari Ketiga, 15 Disember 2008



Pada hari ini, kerja-kerja pemindahan masih tertumpu di rumah mangsa yang sama di Impiana Selatan. Gerak kerja berjalan dengan lancar.

Hari Keempat, 17 Disember 2008



Pada hari yang keempat, skuad sukarelawan GAMIS, DERU JIM, Unit Amal Malaysia, PAS Ampang dan Angkatan Muda Keadilan (AMK), dibenarkan masuk ke kawasan merah, yang terdapatnya 14 buah rumah banglo yang ranap akibat tanah runtuh. Kebenaran masuk ke kawasan tersebut memerlukan surat kebenaran polis & masuk bersama tuan rumah. Kawasan tersebut sangat merbahaya dan hanya petugas lelaki & media sahaja dibenarkan ke kawasan rumah mangsa serta diiringi anggota SMART, JKR & Polis.



Atas nasihat pihak SMART & polis, petugas tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah mangsa untuk mengambil barang atas sebab keselamatan. Kerana rumah berkenaan dindingnya telah retak teruk & tiangnya ada yang telah pecah serta kedudukannya yang agak senget & terbenam ke dalam tanah. Hanya 2 petugas yang berbadan ringan sahaja dibenarkan masuk untuk mengambil cermin besar milik mangsa. Kedua-duanya adalah sukarelewan GAMIS.


Ada dikalangan petugas yang mendakwa terhidu bau busuk seperti bau bangkai di kawasan runtuhan tersebut. Namun salah seorang anggota polis mengatakan ia adalah bau ayam & daging di dalam peti dan bau bangkai anjing yang tertimbus. Tidak banyak barangan yang dapat diselamatkan. Hanya barangan ringan sahaja, manakala perabot lain tidak boleh dikeluarkan atas sebab keselamatan. Selepas waktu asar, skuad Sukarelewan GAMIS bertolak pulang ke kampus masing-masing.